top of page

SOALAN:

Adakah sorang anak yang memberikan teguran atau nasihat kepada orang tuanya dikira sebagai anak yang derhaka?

JAWAPAN:

Untuk menjawab soalan ini, mari kita lihat maksud sepotong ayat dari surah al-Ankabut ayat 8 seperti berikut:

“Dan Kami wajibkan kepada manusia agar (berbuat) kebaikan kepada kedua orang tuanya. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau patuhi keduanya. Hanya kepada-Ku tempat kembalimu, dan akan Aku beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.”

 

Daripada terjemahan ayat ini kita dapat memahami bahwa kita sememangnya disuruh berlaku baik kepada orang tua kita seperti menghormati mereka dan mentaati mereka. Namun, agama kita tidaklah mengajarkan kita untuk berlaku taat secara membabi buta. Seandainya kita diminta untuk melakukan perkara yang mungkar kita tidak perlu mentaati perintah tersebut walaupun perintah itu datang dari kedua orang tua kita. Tetapi dalam masa yang sama, kita juga tidak boleh mengambil sikap 'lepas tangan' seandainya ada perkara yang tidak elok dilakukan oleh orang tua kita. Untuk itu, kita hendaklah memberikan nasihat yang baik dan tidak salah juga kita memberi teguran kepada orang tua kita. Cuma dalam menasihati kedua orang tua kita, kita mestilah faham akan kedudukan kita sebagai seorang anak bermaksud, berilah nasihat atau teguran tetapi janganlah lupa tentang peranan kita sendiri iaitu kita ini adalah seorang anak dan sebagai seorang anak tidak wajar kita pula memainkan peranan sebagai ibu bapa terhadap kedua orang tua kita. Berilah nasihat atau teguran dan dalam masa yang sama berlaku bijaksanalah dalam memberikan nasihat atau teguran itu seperti menjaga intonasi suara dan akhlak kita sebagai anak ketika berdepan dengan kedua orang tua kita. Wallahu A'lam

SOALAN:

Bolehkah seorang pasangan menegur pasangannya kerana terlalu leka membazirkan waktu dengan handphone?

JAWAPAN:

Seorang pasangan boleh sahaja menegur atau memberikan nasihat kepada pasangannya jika didapati pasangannya itu perlu ditegur atau perlu dinasihati. Prinsip ini amat-amat digalakkan dalam Islam kerana kita disuruh melakukan 'Amar Ma'ruf Nahi Munkar' (menyuruh melakukan kebaikkan dan menegah dari melakukan kejahatan). Ia juga bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam surah al-'Asr (bermaksud):

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."

Ada sebuah riwayat di mana seorang SAHABAT bernama Abu Darda' yang telah dinasihati oleh Salman al-Farisi kemudian Abu Darda' berjumpa dan menerangkan kepada Rasulullah saw tentang nasihatnya Salman kepada dirinya dan Nabi hanya berkata "Benar Kata Salman". Ini menunjukkan memberi nasihat itu baik dan tidak salah dan juga tidak lari dari prinsip agama kita bersesuaian dengan maksud surah al-'Asr yang saya kongsikan tadi.

Cuma dalam kita memberikan nasihat atau teguran, hendaklah kita lakukan dengan penuh berhati-hati dan bijaksana supaya nasihat itu dapat dimanfaatkan. Dan bagi mereka yang dinasihati, wajarlah berlapang dada kerana nasihat itu juga baik untuk semua supaya kita tidak berterusan hidup dalam kesalahan atau kesilapan itu selamanya. Wallahu A'lam.

SOALAN:

Bolehkah seorang pasangan memanggil pasangannya dengan gelaran yang hingga mengecilkan hati pasangannya? Adakah perbuatan seperti itu dikira sebagai dosa besar?

JAWAPAN:

Perbuatan seperti ini amat tidak elok diteruskan dan ia bukanlah termasuk akhlak yang terpuji seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Ia juga tidak menepati Sunnah Rasulullah saw. Ini kerana Nabi saw ditutus bukan hanya membawa Islam tetapi Baginda saw juga diutus untuk menyempurnakan akhak manusia sesuai dengan hadis seperti berikut yang bermaksud:

"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."

(Hadis riwayat Imam Bukhari)

 

 

Suka saya kongsikan di sini juga tentang sebuah kitab yang berjudul 'Al-Kabaair'. Dalam kitab ini ia menerangkan tentang jenis-jenis dosa-dosa besar yang disusun oleh Imam al-Hafizh Muhammad bin Ahmad bin Usman Adz-Dzahaby yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh almarhum al-Fadhil al-Ustaz Syed Ahmad Semait di mana di dalam kitab ini ada menerangkan tentang perkara ini dengan terperinci. Penulis kitab ini mendatang beberapa potong ayat dari al-Quran tentangnya dan di antara ayat al-Quran yang diketengahkan adalah seperti berikut:

"Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata."

 

(Surah al-Ahzab: 58) 

Dalam sebuah hadis pula yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizhi dan al-Hakim menerangkan seperti berikut:

Daripada Abdillah bin Mas'ud r.a berkata, telah bersabda Rasulullah saw (bermaksud):

"Orang mukmin itu bukanlah pencaci, pelaknat, pelaku keburukkan dan tidak tahu malu (serta kotor atau ucapannya)."

Wallahu A'lam

SOALAN:

Bolehkah kita lakukan puasa sunat, sedangkan masih ada puasa wajib yang belum diselesaikan (belum qada')?

JAWAPAN:

Boleh tiada masalah.

SOALAN:

Benarkah  seorang isteri nak berpuasa kena minta izin dari suami mereka selain bulan Ramadhan?

JAWAPAN:

Di dalam kitab Fiqhul Manhaji (Kitab Fiqh Mazhab Syafei), perkara yang disebutkan itu, tidak pula disebutkan di dalam perihal syarat sah puasa atau dalam bab rukun-rukun puasa mahu pun dalam adab berpuasa. Namun mungkin untuk menjaga keharmonian dalam hubungan suami isteri, tidak salah jika si isteri memaklumkan si suami yang beliau ingin melakukan puasa sunat esuk harinya. Sekurang-kurangnya bila si suami maklum tentang niat si isteri untuk melakukan puasa sunat keesokkannya, mungkin si suami boleh menyediakan juadah bersahur dan berbuka untuk si isteri agar hubungan suami isteri menjadi semangkin mesra. Wallahu A'lam

bottom of page